BFF-Tahun Hijrah-

MUHARAM
27 November 2011 bersamaan 1 Muharam 1433 Hijrah

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri.

Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.

Syariat Islam menyatakan bahawa sistem kalendar Islam adalah berdasarkan kalendar Hijriyah. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang termaktub dalam surat at-Taubah ayat 36 yang bermaksud : Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya). Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa. Firman Allah tersebut dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Bakrah yang bermaksud : Waktu telah kembali kepada keadaannya semula pada saat Allah s.w.t. menciptakan langit dan bumi. (Satu) tahun itu ada dua belas bulan, di antaranya ada empat bulan yang dihormati , tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharam, satu lagi Rejab berada antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban. (Riwayat Bukhari). Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila Khalifah Umar al-Khattab menetapkan peristiwa hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke Madinah sejauh kira-kira 450 km itu sebagai tahun pertama dalam Islam yang dinamakan dengan tahun Hijriyah. Oleh itu, penggunaan Takwim Hijriyah yang digunakan pada masa sekarang telah bermula sejak tahun ke 17 Hijriyah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriyah ini, diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang bermula pada tanggal 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba pada tanggal 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi pada hari Isnin. Jika dihitungkan kembali, maka 1 Muharam bagi tahun pertama Hijriyah atau tarikh 1 Muharam 0001 didapati jatuh pada 16 Julai 622 Masihi iaitu pada hari Jumaat berdasarkan kiraan rukyah. Wajar disingkap untuk pengetahuan ramai bahawa sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab tidak mempunyai satu sistem kalendar yang tersendiri. Sebaliknya tahun-tahun bagi takwim mereka berasaskan sesuatu peristiwa penting yang berlaku seperti Tahun Gajah, Tahun Banjir di Mekah, Tahun Pembinaan Semula Kaabah dan sebagainya. Namun demikian, dari segi nama bulan dalam tahun Hijriyah, dunia Arab sudah mengenal nama-nama bulan seperti Muharam, Syawal, Safar dan sebagainya. Dengan kedatangan Islam, beberapa bulan telah dinyatakan di dalam kitab suci al-Quran sebagai bulan yang lebih mulia. Sistem perkiraan Takwim Hijriyah ini berdasarkan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Sementara itu, permulaan hari dalam Islam pula dikira dari masa terbenamnya matahari pada hari tersebut. Sistem Kalendar Islam yang mengandungi 12 bulan ini merupakan ketentuan Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya di atas. Dalam pada itu, sistem kalendar yang menambah bulan sehingga menjadi 13 bulan seperti yang berlaku pada kalendar kaum lain, diharamkan oleh Allah s.w.t., sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : Sesungguhnya mengundurkan atau menambah bulan adalah tambahan dalam kekufuran. (At-Taubah ; 37) Di samping itu, Rasulullah s.a.w. juga menentukan bahawa umat Islam harus mengikut peredaran bulan bagi menentukan bulan dan tahun, bukan berdasarkan peredaran matahari. Ini jelas daripada sabda Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahawa setiap bulan mengandungi sama ada 29 atau 30 hari. Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga bersabda bahawa umat Islam wajib memulakan ibadah puasa Ramadan apabila anak bulan kelihatan. Oleh kerana itu juga Umar al-Khattab mengasaskan kalendar Hijrah berdasarkan pergerakan bulan, bukan matahari. Jika diimbas kembali peristiwa hijrah Nabi s.a.w., ternyata bahawa hijrah yang dilakukan baginda amat besar ertinya di dalam sejarah perkembangan dakwah Islamiah. Ini kerana bertitik tolak dari tarikh tersebut, dakwah Islam mula menempuh zaman baru dan mula mencapai kejayaan yang gemilang. Jika sebelum hijrah, umat Islam merupakan golongan yang ditindas dan diseksa oleh kaum musyrikin di Mekah, akan tetapi selepas berhijrah ke Madinah, kaum Muslimin mempunyai kedudukan yang kuat dengan terbentuknya sebuah negara Islam yang menjadi asas kekuatan dan perkembangan Islam seterusnya. Oleh yang demikian, peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun untuk menjadi pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan kenangan itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya ia perlu melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan tenaga dan jiwa raga. Sesungguhnya pengorbanan tinggi yang dimiliki dan diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w. dan umat Islam pada zaman baginda merupakan bukti kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap akidah Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini. Di samping itu juga, perlulah diketahui bahawa pengertian hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian perpindahan dari satu tempat atau negeri ke tempat yang lain, tetapi ia meliputi makna maknawi iaitu berpindah daripada sifat atau perbuatan yang kurang baik atau tidak baik kepada yang baik. Pengajaran daripada hijrah Nabi s.a.w di antaranya ialah kita perlu melakukan pengorbanan untuk membawa perubahan. Ini kerana tiada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah suatu tuntutan dalam kehidupan manusia. Ia meliputi perubahan daripada perkara yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik. Oleh yang demikian, setiap Muslim perlu memiliki semangat dan cita-cita untuk berubah dan berjaya dalam segenap lapangan kehidupan. Hijrah juga tidak akan terlaksana sepenuhnya tanpa gandingan iman dan jihad, tidak kira sama ada hijrah pada pengertian sebenar iaitu berpindah tempat ataupun hijrah hati dan jiwa daripada keburukan kepada kebaikan. Jika diperhatikan, al-Quran sendiri banyak menggandingkan antara kalimah hijrah dengan iman dan jihad. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah Allah maha Pengampun lagi maha mengasihani. Berdasarkan ayat di atas, jelas kepada kita bahawa dalam setiap perjuangan, terdapat tiga unsur yang berkait rapat dan memerlukan antara satu sama lain iaitu iman, hijrah dan jihad. Tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah s.w.t. serta semangat jihad untuk berjuang dan berkorban apa sahaja, pasti hijrah tidak dapat dilakukan sebagaimana yang dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. Namun demikian, kita masih berpeluang melakukan hijrah secara peribadi iaitu hijrah hati dengan melangkah ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemungkaran. Hijrah daripada individu yang tidak bermutu kepada individu yang bermutu dari segi akidah, syariat dan akhlak. Kesedaran terhadap kepentingan sejarah Tahun Baru Hijrah dalam Islam harus dipupuk di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Ini kerana ia dapat dijadikan penggerak ke arah kecemerlangan. Dengan kesedaran tentang latar belakang sambutan tahun baru dalam Islam, umat Islam khususnya di negara ini dapat menjadikannya sebagai wadah untuk membina keazaman baru bagi menggiatkan usaha membina peribadi dan pencapaian yang cemerlang. Oleh yang demikian, sambutan terhadap Tahun Baru Hijrah harus diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat kita agar penyelewengan akidah dan kepincangan sosial dapat diperbetulkan dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi akan dapat didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya. Sesungguhnya, sekiranya Islam itu hanyalah berkisar tentang ibadah sembahyang dan puasa, maka hijrah tidak akan berlaku kerana kedua-duanya dapat dilakukan di dalam rumah masing-masing. Akan tetapi, oleh kerana agama Islam itu melibatkan pembetulan dan pengislahan, penyusunan semula masyarakat, sehingga ke peringkat mengerah bala tentera untuk mempertahankan kedaulatan, maka wajarlah umat Islam menjadikan hijrah sebagai titik renungan agar Islam hari ini bertaraf sebagaimana yang pernah ditunjuk dan diajar oleh nabi kita melalui peristiwa hijrah tersebut. Justeru itu, sambutan Tahun Baru Hijrah seharusnya disambut dengan lebih meriah dan bermakna, khususnya di kalangan umat Islam. 





Doa Awal Tahun


Maksudnya :
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.


Doa Akhir Tahun


Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu. Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


From BFF with Love
~ Oya Rahman~

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BFF-"Serumah Dengan Mertua... Bahagia Atau Derita?"

BFF - DEAR DIARY ( Part Three )

BFF-Sweet Memories- ITTAR LANGKAWI