BFF-Beauty Service-(FootReflex)

Befabulousforever with
BFF Foot Reflexology



P/S: For all my blogger fren, anyone who interested to do the service do call me on my mobile @ 0193763754 (isha)


BFF Kekalkan kesihatan kaki






BFF...KASUT antara aksesori yang gemar dihimpun dan sering ditukar ganti mengikut kesesuaian persalinan. Seperti beg tangan dan perhiasan lain, himpunan kasut juga dikatakan mampu mencecah ke puluhan ribu ringgit.
Kedengaran agak pelik, mengapa perbelanjaan tinggi sanggup dilaburkan demi mendapatkan kasut yang pakai di kaki. Apa kelebihannya kasut mewah ini berbanding dengan kasut yang dilambakkan sepanjang jualan lelong mahupun pasar malam?

Tahan lama dan keselesaan adalah antara faktor utama yang diambil kira sehinggakan ramai yang sanggup berbelanja lebih hanya untuk sepasang kasut.
Secara fizikal, dari segi luaran, mungkin tidak nampak beza antara kasut mahal dengan yang murah, namun hakikatnya, dua faktor disebut tadi memberi perbezaan ketara. Sama seperti membeli barangan asli dan tiruan. Lebih penting, kasut yang lebih tinggi harganya, mahal kerana keupayaannya melindungi kaki.

“Kasut yang dipakai di kaki memainkan peranan penting untuk rutin harian terutama buat mereka yang banyak bergerak dan berjalan. Tanpa kasut yang selesa, segala perancangan pasti tergendala akibat masalah lazim seperti kaki melecet dan sebagainya,” kata Pengurusan Pemasaran Transmarco Concepts Sdn Bhd, Diana Wong.

Kata Wong, kasut juga bertujuan untuk melindungi kaki dari sebarang pendedahan dan ancaman seperti cuaca basah, memerlukan kasut kalis air dan tapak kasut yang mencengkam bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

“Manusia bergantung kepada kekuatan kakinya untuk terus bergerak menjalankan tugasan penting mahu pun bersantai berikutan ia menampung berat tubuh. Kaki juga berkait rapat dengan sistem peredaran darah seluruh badan.
“Jadi, kaki sememangnya perlu mendapatkan penjagaan baik, selain daripada wajah dan tangan kita. Oleh itu, pemilihan kasut yang tepat bukan saja memberikan perlindungan malah membantu mengekalkan kesihatan kaki tanpa menjalani rawatan urutan refleksologi,” katanya.

Kasut mahal jelasnya, sering kali didatangkan bersama teknologi tertentu bagi menghasilkan pemakaian selesa dan terjamin buat pembeli.

Namun, katanya, pembeli perlu meneliti rekaan, keupayaan kasut memberi keselesaan dan kesesuaiannya dengan kaki terlebih dulu.

“Pembeli selalunya hanya melihat pada harga kasut tanpa terlebih dulu meneliti kesesuaian kasut. Cuba dulu kasut yang diminati, berjalan dengannya dan kemudian, baru buat keputusan.

“Jika membeli kasut yang diselitkan dengan teknologi tertentu, fahami dulu keperluan anda seperti rekaan, kualiti, kelebihan yang ditawarkan kasut itu, terutama buat wanita yang cukup gemarkan kasut bertumit tinggi,” jelasnya.

Ditemui pada majlis pelancaran koleksi baru Hush Puppies, pusat beli-belah Pavilion, baru-baru ini, Wong berkata, teknologi yang diterapkan pada rekaan kasut memberi keselesaan kepada pemakai, seiring mengikut arus fesyen dan membantu kontur kaki, membetulkan struktur tulang sekali gus mengurangkan tekanan ke atas kaki serta sendi pemakai.

Antara teknologi kasut yang tidak asing lagi dalam bidang pembuatan kasut adalah The Body Shoe, Zero G Flex, Wave Reflex, Bounce, Street Smart dan Air Flow.


Kasut The Body Shoe kini semakin mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan berikutan kelebihannya memberi kesan seakan bersenam dan membina otot sepanjang pemakaiannya. Ia juga memberi tahap tekanan dan sokongan yang berlainan kepada setiap bahagian kaki kerana teknologi yang digunakan mampu mengurut tapak kaki secara perlahan-lahan ketika berjalan malah nodul dalam lapik tapak kasut merangsang peredaran darah dalam kaki.

“Keadaan ini membolehkan kaki mereka berasa selesa dan bahagian belakang tidak sakit apabila melakukan senaman ringkas selain memiliki lapisan penyerap tekanan yang mampu melindungi kaki daripada kesan aktiviti,” katanya.

Pergerakan juga lebih mudah dan ringan dengan Zero G Flex kerana hasilnya seakan tidak memakai kasut di samping luarannya senang lentur, membuatkan pergerakan kaki lebih santai mengikut keadaan. Ia juga mengikut kontur kaki bahkan menjamin keselesaan optimum.

Wave Reflex pula ditampilkan khas dengan tapak berukir ombak sebagai penghalang arus supaya pemakai tidak tergelincir ketika bergerak di permukaan licin. Ia paling sesuai untuk wanita hamil.

Bagi mendapatkan tahap tekanan dan sokongan yang berlainan kepada setiap bahagian kaki sekali gus mengurangkan kelesuan dan mengembalikan kecergasan kaki walaupun sudah lama berdiri dan berjalan, Bonce adalah pilihan terbaik.

“Selain Bounce, kasut Street Smart dan Air Flow bersesuaian untuk pemakaian di negara ini berlandaskan kemampuannya mengekalkan kekeringan dalaman walaupun pemakai terpaksa berhadapan dengan hujan selain masalah kaki cepat berpeluh,” kata Wong.

Teknologi tinggi Hush Puppies


BANGKIT dengan nafas baru yang lebih menceriakan, Hush Puppies, yang sudah 50 tahun bertapak dalam industri kasut, kembali dengan koleksi Luruh/Panas Hush Puppies 2011, dengan gaya santai, kasual serta formal ke pejabat.

Tampil dengan rona menarik, koleksi The Body Shoe, The 1958 Series dan Hello Sunshine mengekalkan kelebihan teknologi dalam setiap rekaannya, yang mampu memberi keselesaan dalam setiap pemakaian.

The Body Shoe sesuai untuk aktiviti dalam seperti gimnasium dan aerobik.
Kelebihan rekaannya mampu mengembalikan kontur kaki sekali gus memberikan kesan terhadap pembentukan otot kaki. Koleksi itu juga sesuai dipadankan untuk aktiviti bersantai supaya pergerakan kaki tidak terganggu sepanjang hari.

Kembali pada nostalgia, The 1958 Series kini kembali dengan mainan warna menarik menceriakan langkah anda seringan memberikan kesan positif kepada postur dan jajaran kaki seterusnya mengurangkan tekanan ke atas kaki dan sendi pemakai.

Tambahkan lagi keseronokan dengan rangkaian Hello Sunshine. Kasut sarung ini sesuai dipakai untuk ke pantai mahu pun berkhemah di hujung minggu anda.

INFO
Panduan memilih kasut

  • Beli kasut baru ketika hari menjelang petang. Ini kerana otot di kaki waktu itu mengembang sehingga membentuk keadaan fizikal kaki mirip dengan keadaan otot yang berkontraksi ketika bersukan.
  • Sarungkan kedua-dua kasut pada kaki. Pastikan keseluruhan kasut tidak terasa ketat. Berjalan, melompat dan membongkok ketika mencuba kasut baru bagi menilai sama ada ia boleh memberi keselesaan pada kaki.
  • Pilih kasut yang tidak `menggigit' bahagian ibu jari kaki.

Panduan memilih kasut bertumit tinggi
  • Seeloknya tumit tinggi tidak melebihi dua inci (5 sentimeter) memandangkan tumit mampu memberi impak jangka masa panjang terhadap tulang dan postur tulang.
  • Tumit terlalu tinggi, membuatkan kaki seolah-olah menjunam. Ia menyebabkan pemakai berasa penat ketika berdiri atau berjalan terlalu lama kerana terpaksa menahan berat badan.
  • Jika kasut bertumit rendah tidak mampu menyuntik keyakinan pada diri, cuba beralih kepada wedges. Ia mampu membuatkan anda nampak tinggi, wedges juga memberikan keselesaan mendatar kepada pemakainya.

Kebaikan Foot Reflex

Ketidakselesaan pada telapak dan tulang kaki boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sakit pinggang, bahu, tengkuk dan sembelit kerana kesihatan kaki memberi kesan besar terhadap organ dalaman individu.Rawatan refleksologi kaki membantu individu mencapai tahap kesihatan yang lebih berkualiti kerana ia disifatkan sebagai terapi alternatif dengan mengaplikasi urutan pada titik tertentu di tapak kaki.
Refleksologi juga dikatakan sebagai rawatan yang berguna untuk kesihatan badan kerana kajian membuktikan refleksologi membantu mengurangkan tekanan dan mempengaruhi sistem saraf utama supaya kembali kepada kadar yang optimum.
Ilmu refleksologi; iaitu mengurut titik refleksi yang terdapat di sekitar tapak kaki pesakit. Cara pengubatan ini berasal dari China dan telah diamalkan beribu tahun lamanya sebelum berkembang ke seluruh dunia. Antara keistimewaan pengubatan secara urut refleksi ni adalah ia selamat dan mudah cuma rasa sakit sedikit semasa diurut. Rasa sakit merupakan penunjuk kepada masalah kesihatan tubuh badan anda.
Kaki adalah anggota yang sangat kompleks merangkumi 26 tulang, 57 sendi, 107 ligamen dan 19 otot. Kecederaan tulang, sendi dan ligamen mampu memberi komplikasi kesihatan tubuh seseorang antaranya rasa lenguh lutut, tegang pada bahagian bahu dan masalah buang air besar. Secara semula jadi, tulang tapak kaki manusia agak melengkung. Ia bagi memberikan kekuatan yang lebih untuk menyokong berat badan dan pergerakan. Bagaimanapun, kedudukan tulang tapak kaki boleh berubah jika ia menerima tekanan terus menerus dan tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Maksud Titik Refleksi adalah ‘titik pusat urat saraf’. Setiap titik ada kaitan dengan organ tubuh tertentu, jadi dengan mengurut bahagian refleksi akan melancarkan perjalanan darah pesakit. Setiap titik urutan pada tapak kaki mampu melancarkan pengaliran darah sekali gus memelihara anggota tubuh yang lain misalnya urutan pada tengah tapak kaki berkesan untuk merangsang tindak balas terhadap kawasan refleks adrenal dalam tubuh selain membantu melancarkan sistem penghadaman. 
Lengkungan tulang tapak kaki setiap orang tidak sama. Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu lengkungan normal, tinggi atau rendah. Kajian mendapati individu yang memiliki lengkungan tulang tapak kaki normal lebih beruntung kerana tekanan berat badan dapat diagihkan sama rata pada keseluruhan tapak kaki sekali gus kedudukan pergerakan mereka lebih stabil.
Urutan refleksologi kaki ini sesuai kepada semua peringkat umur selain memberi kesegaran berpanjangan, rawatan berkenaan juga membantu meningkatkan daya ketahanan diri dan menambah keselesaan ketika bergerak. Setiap tekanan pada kedua-dua belah tapak kaki akan dilakukan berulang iaitu tiga hingga lima kali. Tekanan pada 30 titik urutan ini mewakili pelbagai organ dalam badan antaranya hati, pundi kencing, jantung, lutut, siku, tulang belakang, dubur dan kerongkong.

Urutan ini juga sesuai bagi warga tua yang mengalami sakit sendi dan sengal tulang kerana ia mengembalikan semula kedudukan lengkungan tulang pada tapak kaki yang tidak sejajar selain sesuai kepada wanita yang gemarkan aktiviti lasak. Kebiasaannya masalah kaki tidak dapat dikesan dalam tempoh singkat dan kesakitan mula dirasai apabila usia mencecah 30 tahun. Kesakitan kaki mempengaruhi fungsi asas kaki selain membataskan pergerakan.

Langkah pencegahan perlu dengan memastikan otot, tulang, sendi dan ligamen sentiasa terpelihara. Wanita tidak boleh mengabaikan penjagaan kaki kerana ia sama penting dengan anggota badan yang lain seperti wajah, rambut dan kuku. Urutan refleksologi kaki ini dilakukan kurang daripada satu jam. Bagi individu yang mengalami masalah bisa pada bahagian tapak kaki disaran melakukan rawatan ini untuk memperoleh kelegaan. Individu digalakkan minum banyak air masak selepas sesi urutan agar toksin lebih mudah dibuang dari badan.


Kelebihan rawatan

Melancarkan pengaliran darah
Meningkatkan daya tahan individu
Mengurangkan risiko tulang reput
Menyeimbangkan kedudukan badan
Melancarkan pergerakan
Menguatkan otot kaki
Mengurangkan risiko kencing tidak lawas
Menguatkan tulang dan pinggul
Mengurangkan risiko sakit sendi
Mengurangkan rasa letih
Mengelak risiko sembelit
Mengurangkan masalah usus
Mengurangkan masalah pada bahagian peranakan.
Refleksologi: Kenali Titik Refleksi Anda



Pentingnya Perjalanan Darah yang Lancar

Untuk membolehkan badan kita berfungsi secara normal, setiap organ memerlukan darah kerana darahlah yang membawa zat makanan yang diperlukan oleh badan seperti oksigen, hormon, antibodi serta membawa keluar bahan buangan kotor(toksin) dalam badan. Lancarnya perjalanan darah maka makin sihatlah badan kita. Jika salah satu organ badan sakit, maka ia memerlukan perjalanan darah yang lancar untuk membantu menyembuhkan penyakit itu.

Tanda-tanda sakit semasa diurut.

Seperti yang disebutkan tadi, jika perjalanan darah tidak lancar, organ tubuh akan terhalang dari mendapat zat makanan, manakala bahan buangan yang patut dikeluarkan tertahan-tahan maka kotoran/toksin tu mendap dalam saluran darah. Maka fungsi bahagian badan anda akan terganggu sebab tak cukup darah dan zat makanan, lalu timbullah penyakit. Biasanya pakar urutan ini dapat meneka penyakit yang dialami kerana titik refleksi yang sakit akan rasa macam berpasir, maksudnya ada mendapan toksin dalam saluran darah. Jika rasa sakit semasa diurut, itu tandanya bahagian badan berkenaan ada penyakit. Jadi itulah perlunya ia diurut untuk melancarkan perjalanan darah supaya darah terus membawa zat makanan manakala mendapan toksin dapat dikeluarkan.


from BFF with Love
~Oya Rahman~


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BFF-"Serumah Dengan Mertua... Bahagia Atau Derita?"

BFF - DEAR DIARY ( Part Three )

BFF-Sweet Memories- ITTAR LANGKAWI